tak tahu kenapa mereka datang

Wednesday, October 19, 2011

Gara-Gara berteduh di Bawah Pokok Kelapa






PENDANG 19 Okt. - Seorang remaja maut akibat disambar petir ketika berteduh di bawah pokok kelapa di Kampung Alor Kumbang, Bukit Jenun di sini, semalam.
Kejadian pukul 6 petang itu berlaku ketika mangsa, Mohd. Hilmi Omar, 17, melihat bapa saudaranya, Awang Daud, 58, membajak sawah kira-kira 300 meter dari rumahnya.
Awang berkata, sebelum itu, mangsa keluar dari rumahnya pukul 4 petang untuk membantunya di sawah dan kemudian pulang semula ke rumah kerana hujan lebat.
"Setengah jam kemudian kami keluar semula ke sawah kerana hujan sudah berhenti. Ketika itu, arwah berdiri di bawah pokok kelapa manakala saya pergi membajak sawah.
"Ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan pada masa saya membajak sawah saya sempat menoleh ke arah Mohd. Hilmi dan melihat dia masih berdiri di bawah pokok kelapa itu.
"Selang beberapa minit kemudian kedengaran bunyi petir dan apabila saya menoleh ke arahnya, saya dapati arwah jatuh tertiarap dalam sawah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambah Awang, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anak saudaranya masih bernafas dalam pangkuannya.
"Saya kemudian memangku mangsa dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, tetapi mangsa sudah meninggal dunia akibat melecur teruk di bahagian pinggang," katanya.
Beliau kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa mangsa, Omar Daud, 46, dan Sarimah Osman, 38, serta penduduk kampung.
Omar berkata, mayat anaknya dihantar ke Hospital Yan dan hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan melecur di perut manakala baju yang dipakainya terbakar.
"Arwah anak sulung daripada empat beradik itu rajin bekerja mencari wang saku selain membantu menyara keluarga. Kami reda walaupun kehilangan seorang anak yang baik," katanya.
Jenazah Mohd. Hilmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Nur Bukit Jenun di sini, semalam.

0 comments:

Post a Comment

Guablog.com